KOTA KINABALU: Tindakan pantas seorang lelaki meminta orang awam dan kakitangan Klinik Kesihatan Luyang di sini, keluar dari premis itu berjaya menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi, Mohd Hafiz Ruhaili Suhaidi, 20, menyedari premis itu sedang dijilat api ketika menghantar ibunya bekerja di klinik berkenaan.

“Saya melihat api marak di sebalik cermin bangunan. Saya bimbangkan keselamatan ibu lalu masuk ke dalam untuk menyelamatkannya.

“Sebaik masuk, ibu sudah keluar melalui pintu hadapan, manakala ada kira-kira 10 individu di dalam bangunan, termasuk beberapa warga emas yang mahu mendapatkan rawatan.

“Saya segera meminta mereka keluar kerana bimbang api merebak dan asap semakin tebal. Mujur kesemua mereka selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, beliau kemudian menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.12 pagi berhubung kejadian berkenaan.

“Seramai 30 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan Lintas bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah bilik pemeriksaan dan api berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.30 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Khatizah berkata, operasi ditamatkan pada jam 6.50 pagi selepas pemeriksaan di seluruh kawasan itu mendapati keadaan selamat, manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan – berita harian