GELANG PATAH: Penduduk kurang berkemampuan di sekitar daerah ini berpeluang menikmati perkhidmatan pengangkutan van secara percuma dengan adanya Klinik Rakyat Bergerak yang dilancarkan hari ini.

Klinik itu adalah inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Dr Zaini berkata, idea mengubah suai van serba guna itu timbul apabila beliau memikirkan ada penduduk yang tidak mampu membayar tambang teksi untuk ke hospital.

“Jadi, saya beli sebuah van dan diubah suai menjadi pengangkutan serba guna dengan kos RM30,000, termasuk peralatan dan keperluan dalam van,” katanya selepas program pelancaran Klinik Rakyat Bergerak sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini.

Van serba guna ini ketika ini beroperasi mengikut waktu pejabat dan boleh dihubungi menerusi talian 07-5101906.

Dr Zaini berkata, selain dijadikan pengangkutan ke hospital, beliau sebagai doktor menggunakan van berkenaan untuk melawat pesakit dan menyalurkan bantuan perubatan.

Katanya, beliau bercadang menambah bilangan van dan sehubungan itu, mengalu-alukan pihak swasta mahupun kerajaan menyokong usaha berkenaan.

“Saya juga alu-alukan mana-mana pihak yang sudi memberi sumbangan atau dana untuk menambah bilangan van seperti ini,” katanya – berita harian