IPOH: Klip video Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang tular di media sosial kerana dikatakan menyerupai video `Taiwan in Motion 2017’ terbitan sebuah syarikat produksi Taiwan, bukan klip video rasmi.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, ia adalah video contoh yang diberikan kepada beliau oleh produksi tempatan yang ditugaskan membuat video rasmi SUKMA XIX.

Bagaimanapun, Howard Lee mengakui pihaknya membuat kesilapan kerana terus memuat naik klip video itu tanpa membuat semakan lanjut.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf di atas kekeliruan serta kekalutan di dalam isu video yang dituduh sebagai diplagiat ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Klip video contoh itu dibuat sementara menunggu tiga klip video rasmi siap sepenuhnya minggu ini, masing-masing berdurasi 40 saat, 15 saat dan 1 minit, yang akan disiarkan di RTM.

Howard Lee berkata, beliau telah menghubungi pengarah video dari Taipei itu, Gavin Yin untuk memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan itu, di samping telah menarik keluar klip video itu dari laman sosial.

“Walaupun kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan, mahupun terlibat di dalam plagiarism ini, kami tetap menyampaikan permohonan maaf tidak terhingga di atas kesilapan ini,” tambahnya.

Beliau menambah, pengarah video Taipei itu berkata, kesilapan yang dilakukan itu tidak seharusnya membayangi usaha serta penat lelah atlet, kerajaan negeri dan pihak penganjur di dalam memastikan SUKMA 2018 berjalan lancar.

“Kita mahu menumpukan fokus kepada penganjuran temasya sukan ini dan memastikan Perak menjadi juara keseluruhan,” kata Howard Lee.