PULAU PINANG : Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya penularan gambar yang mengandungi maklumat palsu berhubung isu pemberian MyKad yang dikaitkan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Yap Yee Ling berkata, infografik kononnya Kon Yeow mempunyai kuasa mutlak untuk mengurniakan MyKad kepada bukan warganegara dan meminta orang luar tidak mencampuri urusan kerajaan negeri itu disebarkan menerusi aplikasi WhatApps sejak semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Kon Yeow berkata, perlu ditegaskan Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusan kewarganegaraan adalah di bawah Senarai Persekutuan, bukan Senarai Bersama mahupun Senarai Negeri.

“Justeru, saya mewakili Ketua Menteri ingin menafikan sekeras-kerasnya fitnah pihak tidak bertanggungjawab ini yang jelas bertujuan untuk memburuk-burukkan imej serta nama baik Ketua Menteri dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga telah mengarahkan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar untuk membuat laporan polis bagi membolehkan dalang penyebaran fitnah tersebut dicari.

– UTUSAN ONLINE