SHAH ALAM: Kerja pembersihan kolam takungan banjir di Taman Eng Ann, Klang yang tercemar sisa bahan kimia sejak Khamis lalu, dijangka selesai hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata bahan tercemar dalam kolam takungan itu sudah disedut keluar dan semua longkang berhampiran yang mengalir ke Sungai Klang juga sudah dibersihkan.

“Jangkaan masa pembersihan akan mengambil tempoh sekurang-kurangnya dua hari, tetapi saya saya rasa hari ini kerja pembersihan boleh diselesaikan sepenuhnya.

“Besar harapan kita perkara ini akan diselesaikan segera,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Melestari Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, tindakan cekap Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta agensi terbabit berjaya mengelakkan bahaya yang lebih besar berlaku.

“Pada mulanya kita khuatir sisa kimia akan mengalir ke sungai kerana ia boleh menjejaskan bekalan air di negeri ini. Namun ia berjaya sudah dikawal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangkap pelaku yang menyebabkan pencemaran kolam takungan banjir itu.

“Saya yakin pihak berkuasa akan dapat kesan menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran. Selain itu, kita sudah mempunyai sampel dan bukti yang cukup untuk mendakwa pelaku,” katanya.

Khamis lalu, BH melaporkan sebahagian daripada Sungai Klang dikesan dicemari dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti, dipercayai dilakukan pihak tertentu.

Pengarah LUAS, Datuk Hashim Osman, berkata kawasan yang dicemari buangan bahan kimia itu terletak berdekatan dengan Taman Eng Ann.

LUAS mengesan bahan pencemar itu memasuki aliran air di kawasan itu selepas menerima aduan orang awam pada 6 petang kelmarin.

Laporan awal analisa makmal mendapati terdapat sekurang-kurangnya 21 jenis bahan kimia dalam kolam takungan di Taman Eng Ann.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan negeri, Datuk Teng Chang Kim, berkata Jabatan Kimia masih menganalisa lanjut jenis bahan kimia yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab itu, termasuk sama ada ia merbahaya atau sebaliknya – Berita harian