IPOH: Kolam takungan air di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar di sini sentiasa diselenggara bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pihaknya juga menyediakan jadual bersiri untuk meletakkan serbuk abate bagi membunuh jentik-jentik.

Sehubungan itu, beliau menafikan kononnya terdapat nyamuk Aedes di sekitar kolam takungan itu, yang digunakan untuk menyiram taman mini di hadapan kediaman tersebut.

“Nyamuk yang ada bukan Aedes tetapi nyamuk biasa atau lebih dikenali sebagai nyamuk kacau ganggu yang biasanya terdapat di rumah,” katanya kepada pemberita semasa melawat Bazar Ramadan di Stadium Perak pada Selasa petang.

Isu kononnya kolam takungan itu dipenuhi jentik-jentik menjadi viral di media sosial sehingga cuba dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

Menurut Zamri, selain airnya sentiasa bertukar ganti kerana digunakan untuk menyiram taman mini, pihaknya juga sentiasa menyelenggara kolam tersebut dengan meletakkan serbuk abate setiap bulan, dengan yang terbaru pada 31 Mei lalu.

Selain itu, kata beliau, Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kesihatan sentiasa memantau kawasan-kawasan di sekitar bandaraya bagi mengawal Denggi.

Sementara itu, di dalam lawatan ke bazar ramadan itu, Datuk Bandar turut mengedarkan kemeja T, apron dan topi kepada 170 peniaga di situ di samping bekas makanan tupperware kepada para pengunjung.

Beliau berharap dengan pengedaran kira-kira 3,000 bekas makanan itu kepada pengunjung 23 bazar ramadan di seluruh bandaraya Ipoh, dapat menyedarkan penggunan supaya mengurangkan penggunaan plastik dan polisterin.