JELEBU: Kolej Komuniti Jelebu (KoKoJel) muncul kolej komuniti pertama di negara ini memperoleh kemudahan WiFi berkelajuan tinggi percuma melalui program khidmat masyarakat Telekom Malaysia (TM).

Kemudahan WiFi menerusi 10 access point (AP) dipasang sekitar kolej itu bukan sahaja untuk kegunaan pelajar tetapi juga boleh dimanfaatkan komuniti setempat.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, berkata projek WiFi@Unifi itu dijalankan hasil kerjasama antara Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) kementerian dengan TM.

Katanya, kemudahan itu boleh menjana pendidikan lebih meluas, selain membantu pelajar dan pensyarah mendapatkan maklumat dengan pantas.

“Terima kasih kepada TM yang menyediakan perkhidmatan ini secara percuma dan diharap ia akan memberi manfaat, terutama membantu pelajar menyiapkan tugasan mereka.

“KoKoJel akan memperkenalkan kursus baharu, Diploma Digital Horizontal Construction Technology (BIM) tidak lama lagi dan sudah pasti kemudahan WiFi percuma akan memudahkan pelajar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Wifi@Unifi di KoKoJel di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat; Timbalan Ketua Pengarah JPKK, Mohd Nasir Abd Ghani; Pengurus Besar TM negeri, Azhar Mustapha; dan Pengarah KoKoJel, Muhammad Aznor Abdul Aziz.

Kain Ching berkata, akses WiFi percuma itu juga memudahkan pensyarah yang mahu melanjutkan pelajaran secara dalam talian ditawarkan universiti.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, projek sulung berkenaan akan dinilai terlebih dahulu sebelum pihaknya bersama TM memasang kemudahan sama di 93 kolej komuniti seluruh negara.

“Jika semua berjalan lancar dan tiada masalah dengan projek pertama ini, JPKK bersama TM akan memasang kemudahan itu di Kolej Komuniti Masjid Tanah dalam masa terdekat.

Katanya, orang ramai boleh menggunakan kemudahan percuma itu dengan memuat turun aplikasi i-foundit! dari Google Play Store atau Apps Store – berita harian