BUKIT GANTANG: Kolej Komuniti di negeri Perak giat melakukan kerja-kerja baik pulih rumah golongan berpendapatan rendah di kawasan terpilih bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Pengarah Kolej Komuniti Bagan Datuk, Zainuddin Kasmuri berkata, hampir 50 rumah di tiga kawasan Parlimen iaitu Bukit Gantang, Bagan Serai dan Sungai Siput akan dibaik pulih dan dijangka siap sepenuhnya bulan hadapan.

“Kerja-kerja baik pulih ini termasuk membaiki bumbung dan membaik pulih kerosakan-kerosakan kecil seperti perpaipan dan wayar elektrik dengan kerjasama kontraktor yang dipilih dari kolej komuniti sendiri.

“Kesemua 13 kolej komuniti di Perak akan terlibat sama namun ia akan dilakukan secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Cabinet Away Day Kementerian Pendidikan Tinggi, ‘Touch Point’ Parlimen Bukit Gantang di Kampung Permatang Raja di sini, semalam.

Seramai 50 pelajar dari Kolej Komuniti Pasir Salak, Kolej Komuniti Bagan Datuk, Kolej Komuniti Teluk Intan dan Kolej Komuniti Tapah terlibat dalam program di tiga kawasan Parlimen itu.

Zainuddin berkata, program yang diadakan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) teras pertama iaitu melahirkan graduan holistik berciri keusahawanan itu bertujuan untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi pelajaran dan kerohanian.

“Program sebegini bertujuan menyemarakkan lagi semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat supaya apabila mereka bekerja nanti, pelajar bersedia untuk memberi pertolongan kepada insan-insan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Permatang Raja, Kasma Saad, 63, berkata, beliau sekeluarga bersyukur apabila dimaklumkan kediamannya dipilih dalam program itu selepas terpaksa hidup dalam keresahan apabila hampir kesemua bumbung rumahnya bocor sejak lima tahun lepas.

“Mak cik dan suami memang tak mampu nak beli bumbung baharu. Selama ini, kami terpaksa meletakkan besen dan baldi di setiap tempat yang bocor di dalam rumah sehingga tidak boleh tidur malam jika hujan,” katanya.