LIMA kilometer dari Pekan Beruas, terdapat satu kawasan perkelahan yang dikenali sebagai Taman Eko-Rimba Ulu Licin, atau kepada penduduk di sekitar Beruas, sekadar Ulu Licin.

Air sungai berjeram yang jernih mengalir merupakan tarikan utama kepada pengunjung di kawasan hutan simpan kekal ini.

Panorama alam yang indah dan menyenangkan di Ulu Licin sememangnya menjadikannya satu tempat yang berbaloi untuk dikunjungi.

Untuk ke Ulu Licin, dinasihatkan menaiki kenderaan sendiri kerana perkhidmatan bas tidak disediakan ke kawasan hutan ini. Dengan keadaan jalannya yang sempit berliku dan berbukit, agak mustahil bagi bas awam sampai ke pintu masuk taman rimba ini.

Tidak ramai yang sedar, kawasan perkelahan yang terkenal di kalangan penduduk setempat ini, sering kali menjadi tempat berlatih askar dan tentera termasuk pasukan komando bagi membiasakan diri dengan keadaan hutan yang tebal dan terasing.

Bagi penduduk di Beruas, ia adalah sesuatu yang normal untuk menyaksikan pasukan tentera memasuki Ulu Licin dan tidak keluar-keluar (atau mungkin keluar tanpa disedari penduduk).

Kawasan ini juga dianggap keras dan mempunyai kisah mitosnya sendiri, malah ada yang mengaitkannya dengan keranda emas dan pelbagai kisah-kisah mistik orang bunian serta penunggunya.

 

ulu licin 2Apa yang pasti, kawasan yang diselenggara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ini menyediakan beberapa kemudahan untuk pengunjungnya seperti kawasan parkir, tandas dan pondok rehat.

Dibuka dari pukul 6.00 pagi hingga 7.00 petang, tiada bayaran masuk dikenakan.

Sekiranya berminat untuk berkhemah bermalam, bolehlah berhubung dengan Pejabat Hutan Daerah Kinta/ Manjung, Jalan Bemban, 31000 Batu Gajah, Perak melalui talian telefon +605-3661 228 dan faksimili +605-3651 679.

Kawasan air terjun Ulu Licin terbahagi kepada empat tingkat,  tetapi yang paling sesuai untuk seisi keluarga terutama mereka yang mempunyai anak-anak kecil adalah bahagian tengah kerana aliran airnya tidak terlampau deras dan dalam.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan perkelahan ini selain mandi-manda dan beriadah adalah jungle tracking – ada laluan disediakan, berBBQ dan berkhemah.

Anda juga boleh sekadar berehat sambil menikmati pemandangan hutan rimba yang indah dan pastinya dapat menghilangkan penat bekerja atau belajar.

Dengan hasrat Kerajaan Negeri memajukan kawasan Beruas, lebih-lebih lagi selepas Program Permukiman Menteri Besar di pekan itu, baru-baru ini, Air Terjun Ulu Licin bakal menerima kunjungan yang lebih ramai.

Apa yang perlu diambil peduli ialah nikmati keindahannya, tinggalkan jejak dan bawa pulang memori indah serta sampah sarap anda!