IPOH – Kompleks Hutan Belum-Temengor dipilih sebagai tapak model pertama di negara ini oleh Tabung Perlindungan Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dalam meningkatkan usaha pemuliharaan harimau Malaya.

Pemilihan kawasan seluas 3,000 kilometer persegi ini adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri bagi mencapai sifar pemburuan haram menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri menjadikan sifar pemburuan ini sebagai fokus utama bagi memastikan agenda pemuliharaan harimau dapat dijayakan dengan sebaiknya.

“Perak memerlukan kerjasama banyak pihak dalam menjayakan hasrat mencapai sifar pemburuan haram ini.

“Sebagai komitmen terhadap misi ini, kita bersetuju menjadikan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi sebagai pihak bertanggungjawab untuk melihat perkara ini,” katanya pada sidang media sempena sesi Dialog Meningkatkan Usaha Melindungi Harimau Malaya yang terdapat di Kompleks Hutan Belum-Temengor, semalam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan mendengar taklimat dan berkongsi pandangannya pada sesi dialog itu. Turut berangkat, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Zambry berkata, keberangkatan baginda ke program itu menunjukkan komitmen ke bawah Duli Tuanku untuk memastikan pemuliharaan harimau di negeri Perak dilakukan sebaiknya.

“Perak berbangga menjadi tuan rumah. Saat ini antara ancaman terbesar untuk haiwan ini adalah pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar secara haram.

“Kita yakin, dialog ini akan menjadi platform untuk mengkaji semula usaha sedia ada dan bergerak ke arah penyelesaian yang lebih inovatif dalam mencapai sifar pemburuan haram di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr Dionysius S K Sharma berkata, Sultan Nazrin menyuarakan pandangan baginda supaya membabitkan secara langsung masyarakat Orang Asli di kawasan Belum-Temengor dalam usaha memulihara harimau.

Katanya, baginda menjelaskan, masyarakat Orang Asli boleh memainkan peranan di peringkat lebih tinggi melalui pelbagai pendekatan.

“Kita perlu cari jalan untuk memastikan dan mengetengahkan peranan yang boleh mereka mainkan dalam memulihara habitat harimau, jadi mereka akan fokus dalam peranan yang positif dan bukannya peranan buruk iaitu terbabit sama dalam pemburuan haram,” katanya.

Beliau memuji Kerajaan Perak yang menjadi peneraju dalam langkah pemuliharaan haiwan terancam seperti harimau ini.

Antaranya, pewartaan koridor penting di Belum-Temengor sebagai Hutan Simpan Amanjaya dan pembinaan jejambat komposit pertama sepanjang 200 meter yang membenarkan lintasan hidupan liar di bawahnya di Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) Hutan Simpan Amanjaya.

-SinarHarian