IPOH – Usaha dan komitmen yang ditunjukkan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) dalam membela nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudyaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata inisiatif BAIDURI membantu golongan ini melalui bantuan dan sokongan berterusan yang dihulurkan kepada Pusat Dalam Komuniti (PDK) misalnya telah berjaya membuka mata banyak pihak.

IMG_0007

Katanya melalui BAIDURI banyak PDK di negeri ini berjaya menyediakan suasana dan tempat latihan yang lebih baik kepada golongan OKU berikutan penambahbaikan prasarana dan kualiti yang dilakukan oleh jabatan berkaitan.

Kata beliau senario ini sekaligus dapat melahirkan OKU yang lebih baik serta menjadikan mereka golongan yang boleh berdikari suatu hari kelak.

“Saya rasa kagum dengan komitmen bersungguh-sungguh BAIDURI masuk keluar kampung termasuklah setiap kali program Permukiman Menteri Besar menjelajah PDK-PDK yang ada bagi memastikan keperluan mereka semua diberi perhatian

“Apa yang dilakukan BAIDURI mencetuskan inspirasi kepada saya sendiri menyelami perasaan dan cabaran yang dihadapi ibu bapa anak-anak OKU ini terutama yang berada di luar bandar. Syukurlah kita ada PDK di setiap pulusok negeri untuk membantu ibu bapa ini mendapatkan latihan sewajarnya buat pelatih OKU,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan BAIDURI Kali ke-29 di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada Jumaat.

Turut dihadiri Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Nolee berkata, pembukaan pusat pengumpulan dan pemasaran produk PDK di Kompleks Silveritage Galleria, Medan Gopeng, membuktikan bahawa BAIDURI benar-benar ingin membantu golongan orang kurang upaya ini menjana pendapatan mereka sendiri.

“Saya akan cuba bantu terutamanya dari segi promosi dan pelan penjualan produk dari para pelatih PDK ini, di bawah portfolio Kebudayaan,” tambah Nolee.

Sementara itu, Saripah di dalam ucapannya berkata pusat tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak RM1,260 dalam tempoh seminggu ia beroperasi.

“Tujuan BAIDURI mewujudkan pusat itu ialah untuk sama-sama membantu para pelatih menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan sumbangan dari orang lain.

“Kami yakin dengan produk-produk yang dipasarkan kerana ia mempunyai kualiti tersendiri,” kata beliau.