KAMPAR: Sebuah kompleks terminal pengangkutan bersepadu akan dibina di Kampar dengan kos kira-kira RM128 juta.

 

Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Kampar itu dijangka mampu melonjakkan lagi ekonomi di kawasan Kampar.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, terminal itu juga akan membantu merancakkan lagi pembangunan di Kampar dan kawasan sekitarnya.

mb kampar 2

“Terminal ini menyediakan pelbagai kemudahan, bukan hanya terminal bas terminal tetapi juga kemudahan lain, termasuk pusat konvensyen yang akan dibina di kawasan ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran `Permulaan Kerja’ pembinaan Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Kampar di Kampar Putra, di sini pada Selasa.

 

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

mb kampar 3

Dr Zambry memuji syarikat Perak Transit Berhad kerana mengambil satu lagi inisiatif bersama-sama kerajaan negeri Perak dan sektor swasta  untuk membangunkan terminal-terminal bas di negeri Perak

 

“Langkah yang diambil Perak Transit ini merupakan satu contoh di mana mereka telahpun membina sebelum ini di Terminal Amanjaya di kawasan Meru dan pada hari ini mereka bina satu lagi terminal di kawasan Kampar,” ujarnya.

 

Terdahulu, Pengerusi Perak Transit Berhad, Tan Sri Chang Ko Youn berkata, terminal itu yang dibina di kawasan seluas 3.72 ekar dijangka siap pembinaannya pada awal tahun 2018.

Menurut beliau, langkah diambil pihaknya memilih Kampar untuk membina terminal itu kerana peningkatan penduduknya dan kegiatan ekonomi yang semakin rancak di kawasan berkenaan.

 

Selain itu, ujarnya, kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR) dan Westlake International School (WIS) meningkatkan bilangan pelajar yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan.