BAGAN DATUK: Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu segera mengambil pendekatan menggunakan teknologi terkini untuk menarik seramai mungkin pengundi yang berada di luar parti.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini penting kerana cara berkempen untuk menarik pengundi sudah berubah.

Beliau memberi contoh penggunaan perkhidmatan atas talian (on-line) yang pelbagai sekarang.

“Perkhidmatan atas talian kini dianggap penting bagi menarik pengundi kerana ia merupakan pendekatan paling berkesan untuk menarik pengundi bukan sahaja di kawasan mereka malah di luar kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perjumpaan Khas bersama kepimpinan BN Empat Peringkat Bahagian Bagan Datuk di Dewan UMNO Bagan Datuk pada Jumaat malam.

Hadir sama Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pemimpin komponen negeri.

Ahmad Zahid juga meminta komponen parti menjawab segala tohmahan dan serangan terhadap kepimpinan parti menerusi aplikasi Whatsapp dan media baharu.

Katanya, adalah penting segala tohmahan dan fitnah itu diperjelaskan agar ia tidak mengelirukan rakyat sehingga memberi gambaran yang tidak baik kepada kerajaan.

 

 

Gambar oleh DEPMO