Jempol: Sekolah Kebangsaan (SK) St Aidan, Bahau, di sini, menanggung kerugian kira-kira RM250,000 selepas 40 komputer di makmal sekolah musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian jam 3.30 petang disedari pihak pentadbiran sekolah yang menghubungi pihaknya serta bomba.

Katanya, kejadian tidak mengakibatkan kemalangan jiwa berikutan tiada murid dalam makmal berkenaan.

“Pada masa kejadian, murid yang mengikuti pembelajaran berada dalam kelas berasingan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Bahau Ahmad Hafezze Mat Junos berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.34 petang mengerahkan enam anggota dan sebuah jentera.

Katanya, sebaik tiba lima minit kemudian, api dilihat marak membakar makmal serta 40 komputer.

“Api dapat dikawal dalam tempoh lima minit dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya 15 minit kemudian. Bagaimanapun, semua komputer dan juga makmal musnah,” katanya.

Beliau berkata, selain itu mesin pencetak, pendingin hawa dan beberapa kemudahan teknologi yang lain turut musnah.

“Kita (bomba) tidak menolak kemungkinan kebakaran disebabkan litar pintas. Buat masa ini punca sebenar kejadian masih disiasat,” katanya.

-myMetro