Oleh: Aida Aziz

IPOH: Pendedahan terhadap pengunaan alat pemadam api wajar diketengahkan kepada semua maahad tahfiz di negeri ini memandangkan masih ramai pihak yang tidak tahu menggunakan alatan itu di saat-saat genting.

Pengerusi Teknologi Inovasi Komunikasi Multimedia Adun Belia Perak, Muhammad Naim Al Amin berkata, walaupun kemudahan dan pendawaian di bangunan mahad tahfiz berada dalam keadaan baik, aspek tatacara pengunaan alat pemadam masih lemah.

“Objektif Ahli Parlimen Belia Malaysia dan Dewan Belia Perak hadir ke sini adalah untuk menepis persepsi orang ramai setelah kejadian kebakaran yang menimpa mahad tahfiz baru-baru ini.

maahad-pemadam-api

“Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada kerajaan semata-mata kerana kita sebagai masyarakat pun kena ambil tahu, dan membantu dari segi sumbangan tenaga atau wang,” katanya ketika ditemui pemberita di program Kempen Kesedaran dan Keselamatan di Maahad Tahfiz al-Quran As-Syaafi di sini, hari ini.

Dalam program itu, sebanyak empat alat pemadam api disumbangkan kepada maahad tahfiz tersebut, di samping pemeriksaan pendawaian serta penerangan cara-cara pengunaan alat pemadam api.

Dalam pada itu, Muhammad Naim berharap agar semua maahad tahfiz di Perak mendaftar di bawah kerajaan negeri supaya aspek keselamatan, bangunan dan infrastrukturnya dapat diselenggara dengan rapi.

“Maahad tahfiz di Perak tak banyak, ada lebih kurang 42 buah yang berdaftar dan kami mengharapkan ia diselesaikan supaya semuanya berdaftar di bawah kerajaan negeri,” katanya.