AYER KEROH – Sesi pagi hari kedua Kongres Nasional Pemuda PKR hari ini tegang apabila sejumlah perwakilan tidak dibenarkan memasuki dewan persidangan.

Kekecohan tercetus selepas penyokong Mizan Adli Mohd Nor yang dipecat secara kontroversi daripada jawatan pengerusi tetap sayap itu, cuba memasuki dewan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) untuk menghadiri Kongres Nasional Pemuda PKR hari ini.

Mizan berkata, beliau dan rakannya dilarang memasuki dewan.

Beliau turut mendakwa diserang dan ditolak selepas berjaya masuk ke dalam dewan.

Beliau mendakwa Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir gagal mematuhi arahan Presiden, Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali yang meminta kongres itu diadakan secara aman.

“Saya sudah menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Kongres itu diteruskan tanpa saya.

“Apabila saya masuk, saya ditolak dan dipukul. Mana keadilannya?” soalnya dalam sidang media.

Terdahulu, Mizan berkata, JPPM mengakui pengerusi tetap yang baru hanya boleh dilantik setiap 3 tahun.

Katanya, beliau sepatutnya hadir ketika Pemuda PKR mahu memilih penggantinya.

Beliau mendakwa ramai pemerhati dalam dewan, termasuk pelajar yang tidak mempunyai tag kemasukan sedangkan kira-kira 200 perwakilan yang mempunyai tag dilarang masuk.

“Kami dilayan seperti binatang. Jangan (buat ini) sehingga tahap mendapat perhatian JPPM dan menjejaskan parti kita.”