SHAH ALAM: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan serta dua anggota polis berpangkat Sarjan Mejar dan Konstabel, ditahan kerana disyaki terbabit dalam dua kumpulan kongsi gelap iaitu Geng 08 dan Geng 18.

Turut ditahan adalah dua individu bergelar Datuk dan Datuk Seri.

Mereka adalah antara 63 individu yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, melalui dua operasi membanteras kegiatan kongsi gelap di negeri ini, yang dijalankan sejak 29 Mac hingga petang semalam.

Polis percaya penangkapan itu dapat menyelesaikan kira-kira 40 kes jenayah serius di Selangor, antaranya, kes bunuh di Jeram pada Januari lalu; kes tembak dan bunuh di hadapan sebuah sekolah di Serdang dan kes melepaskan tembakan di rumah di Serdang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata JSJ Selangor menyasarkan seramai 83 orang ahli geng berkenaan yang bergiat aktif dan sehingga kini, 63 berjaya diberkas iaitu 36 ahli Geng 08, manakala 27 lagi ahli Geng 18.

“Semua suspek yang berusia 23 tahun hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa negeri iaitu Selangor, Pahang, Perak, Kelantan, Johor dan Melaka, serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“JSJ Selangor masih giat mengesan 24 lagi suspek yang disenarai hitam sebagai orang yang dikehendaki polis,” katanya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Operasi Cantas Khas yang dinamakan Ops Spider (geng 08) dan Ops Api Reload (18) itu turut mendapat bantuan daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC); Pasukan Tindakan Khas (STAGG); Bahagian D8 (Operasi Khas) dan Bahagian D9 (Siasatan Khas) Bukit Aman.

Turut membantu operasi berkenaan adalah pasukan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN).

Mazlan berkata, dalam serbuan itu, JSJ turut merampas sepucuk pistol; pelbagai jenis kenderaan, termasuk empat buah motosikal; barang kemas; 73 telefon bimbit; wang tunai berjumlah RM17,000 serta parang.

“Selain itu, pasukan AMLA turut mengambil tindakan pembekuan dan penyitaan harta milik semua tangkapan iaitu 38 akaun bank, empat hartanah, 11 buah kereta, dua buah motosikal berkuasa besar, wang tunai RM16,800 dan 72 bentuk barang kemas bernilai RM100,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan setakat ini adalah RM3.16 juta,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama 28 hari mengikut peruntukan Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan; Seksyen 130W Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan iaitu Perolehan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) – berita harian