IPOH – Latihan bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Filipina (TDF) buat pertama kali memfokuskan senario operasi pertempuran di kawasan bandar dan penempatan penduduk berbanding dalam hutan sebelum ini.

Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar berkata, Eksesais Land Malphi siri 19 itu adalah bagi mengeratkan hubungan dua negara di samping berkongsi taktik, teknik serta kaedah terbaik dalam merealisasikan keamanan serantau.

“Kita set beberapa objektif yang boleh dicapai dalam mempelajari kepakaran dan berkongsi pengalaman bersama TDF. Yang paling penting adalah interaksi dan mekanisme hubungan di peringkat tertinggi dalam tentera.

“Ancaman serantau seperti pengganas memerlukan kolaborasi untuk menanganinya. Jadi, kita harap dapat menimba pengalaman selain meningkatkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian pembukaan Eksesais Land Malphi siri 19/2018 yang diadakan di padang kawad Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Gua Permai di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima 2 Bridged, Briged Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Panglima TDF, Mejar Jeneral Robert Musni Arevalo.

Eksesais selama 14 hari melibatkan 35 pegawai dan dan lima lain-lain pangkat TDF serta 80 pegawai dan anggota TDM dari Batalion ke-23 RAMD itu dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Cross Training Exercise, Bn Staffex dan Command Post Exercise yang menggunakan system Battle Tek IV – Pusat Olah Perang.

Mohd Ramli berkata, TDF yang bakal dihadiri Panglima Angkatan Tentera Filipina, Leftenan Jeneral Rolando Joselito Bautista akan berkongsi pengalaman negaranya berhadapan konflik berdarah di Malawi pada penutupan eksesais itu.

“Beliau sebagai komander lapangan berhadapan ancaman pengganas di Marawi, tahun lalu akan berkongsi pengalamannya dan kita turut berkongsi insiden di Sauk, Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Robert berkata, latihan ketenteraan telah banyak berubah apabila situasi kini menyaksikan kumpulan militan seperti Daesh bukan sahaja menjadi ancaman baharu di Filipina malah di serata dunia.

“Kedua-dua negara kita berhadapan dengan situasi sama selain penyertaan dalam misi kemanusiaan dan yang terbaharu ancaman keselamatan daripada pihak militan. Tahun lalu (Battle of Mawari) menyedarkan negara bahawa kita berhadapan ancaman yang sama.

“Sehubungan itu, perubahan latihan ketenteraan ini adalah bersifat responsif dan tepat pada masanya untuk kita bertukar pengalaman dan kepakaran masing-masing,” katanya – sinar