IPOH: Sempena menyambut ulangtahun ke-80 satu-satunya kapal korek terakhir negara di Tanjung Tualang, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) melalui anak syarikatnya Amanjaya TT5 bakal melancarkan kapsul masa bertujuan mengumpulkan coretan serta pesanan orang ramai yang akan dibuka dan dibaca selepas 20 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim berkata melalui aktiviti kapsul masa ini, orang ramai berpeluang membuat catatan kisah mereka yang mana akan disimpan dalam kapsul masa.

IMG_0051

Menurutnya kapusl masa yang dijangka dibuka pada 2038 akan mula menerima penyertaan bermula 8 Mac dan dijangka berakhir 28 Disember.

Beliau berkata MB Inc mensasarkan untuk mengumpul 200,000 coretan dengan setiap pek berharga RM38.

“Bilakah kali terakhir anda menulis surat kepada orang tersayang atau mengenai diri anda Ini merupakan satu peluang untuk kita menulis surat untuk diri sendiri ataupun kepada orang tersayang mengenai perkara yang berlaku hari ini untuk dikongsi 20 tahun akan datang.

“Jika kapal korek tersebut boleh bercakap, kita percaya terlalu banyak perkara yang boleh dikongsikan seperti perang dunia pertama, perang dunia kedua dan perjuangan kemerdekaan suatu masa dahulu,” katanya.

Aminudin berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran selama sejam mengenai ‘80th Anniversary Time Capsule’ di Radio Perak FM RTM Perak.

Menurut Aminudin, kapal korek Tanjung Tualang yang lebih dikenali dengan nama TT5 telah dijadikan wakil untuk mengumpulkan coretan-coretan tersebut sebagai memperingati sambutan 100 tahun usianya dalam tempoh 20 tahun nanti.

“MB Inc berharap agar para orang awam boleh berkongsi cerita yang menggambarkan tentang kehidupan, harapan, impian atau momen yang dapat menyentuh perasaan sama ada dituju kepada orang tersayang atau diri mereka sendiri.

“Sebagai contoh, seorang bapa yang baru menimang anak pada tahun 2018 boleh menulis surat dan surat itu akan dibuka oleh anaknya pada 8 Mac 2038 sempena ulang tahun ke-100 TT5,” beliau berkata.

“Orang ramai sama ada individu atau syarikat korporat dialu-alukan untuk turut sama mengambil bahagian dalam inisiatif ini.  Peluang keemasan ini seperti perlu direbut kerana ia jarang-jarang diadakan disamping dapat merapatkan lagi silaturrahim di antara kita,” ujar beliau.

Kepada yang berminat menjadikan coretan, harapan dan impian mereka sebagai sebahagian daripada sejarah untuk dikongsikan boleh mendapatkan maklmat lanjut dengan layari facebook atau instagram tanjungtualangno5 atau datang sendiri ke TT5 di Tanjung Tualang. Maklumat juga boleh diperolehi dengan menghubungi 014-9043255.

Pek Kapsul masa akan mula dijual di Galeri TT5 pada penghujung Mac 2018.