Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH:
Cubaan licik seorang lelaki kononnya disamun ketika memasukkan wang kutipan kedai 24 jam akhirnya terbongkar.

Dalam kejadian sekitar 10 pagi itu, pekerja kedai 24 jam di Greentown yang berusia 22 tahun ditahan kerana disyaki menjadi perancang utama dalam kejadian samun membabitkan dua lagi rakannya yang bermotosikal.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby berkata tindakan lelaki itu terbongkar hasil soal siasat teliti yang dilakukan pihak polis sebaik sahaja menerima aduan daripada “mangsa samun” itu.

“Hasil soal siasat kita dapati ada sedikit kekeliruan fakta daripada pengadu…akhirnya pengadu mengaku bahawa samun ini dirancang sendiri dan dia telah membawa dua rakan dia supaya menyamun dia dengan tujuan mendapatkan wang tersebut.

“Selepas itu, pengadu itu telah mendedahkan dua lagi kawannya dan kita telah mengesan dan menangkap kedua-dua mereka,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada petang Isnin.

Malah, Mohd Ali berkata tindakan licik “mangsa” itu juga terbongkar apabila kedudukan beg yang dikatakan bersilang di bahunya bercanggah dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Greentown Business Centre, Ipoh.

Mohd Ali berkata, ketiga-tiga suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari depan dan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Menurut Mohd Ali, pihaknya juga berjaya mengesan dan menangkap kedua-dua rakan subahat pengadu di dua kawasan berasingan sekitar Ipoh masing-masing pada jam 5.30 petang dan 8 malam pada hari yang sama.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, suspek memakai beg silang yang mengandungi wang kutipan kedai berjumlah RM3,060, kad pengenalan diri, kad ATM, dan telefon bimbit telah diragut dua lelaki bermotosikal ketika berjalan menuju ke sebuah bank.