IPOH: Kerajaan negeri Perak hanya akan menimbangkan pelaksanaan bazar Ramadan di negeri itu jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilanjutkan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kaedahnya bukan seperti cara tradisi yang melibatkan ramai pengunjung.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengkaji kaedah paling sesuai bagi membolehkan peniaga meneruskan perniagaan dan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa.

“Bagaimanapun kaedah yang akan kita laksanakan itu akan menepati nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan dengan mementingkan penjarakan sosial bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, pelaksanaan bazar itu akan diumumkan selepas kaedah terbaik dimuktamadkan.

Beliau berkata, sekiranya tempoh PKP dilanjutkan, tiada sebarang penganjuran bazar Ramadan diadakan di Perak, sama seperti yang telah diputuskan di peringkat pusat.

Hingga ke hari ini, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Kedah, telah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri masing-masing.

Manakala Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar juga sudah menegaskan, bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di negeri itu disebabkan risiko berlaku kontak rapat yang amat besar.