IPOH: Kerajaan negeri Perak akan melaksanakan konsep pelancongan ‘syurga keluarga’ di Pangkor yang telah diisytihar sebagai pulau bebas cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, fokus utama Pangkor ialah memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli barangan keperluan keluarga, pinggan mangkuk, pakaian berjenama dan coklat.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga dalam fasa perbincangan untuk menambah beberapa barangan lain bebas cukai seperti kristal, barang kemas, peralatan dapur, beg dan bagasi.

“Kerajaan negeri mahu menjadikan Pulau Pangkor pulau bebas cukai menurut acuan sendiri dengan mengimbangi kerancakan status bebas cukai dengan alam semula jadi.

“Kerajaan negeri juga mahu menjadikan Pulau Pangkor pulau bebas cukai yang menampilkan gaya hidup sihat dan bukannnya gaya hidup bebas dengan rokok dan minuman keras,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dr Zambry turut membidas cadangan yang dikemukakan Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) yang mahu status bebas cukai di Pangkor turut melibatkan rokok dan minuman keras.

Beliau berkata, bagi wakil rakyat pembangkang itu, tanpa rokok dan minuman keras, arak status bebas cukai tidak bermakna.

“Inilah otak ekonomi bebas cukai wakil rakyat Tronoh antaranya yang hanya melihat kepada rokok dan arak.

“Katanya saya tidak pandai ekonomi. Biarlah saya tidak pandai, mentang-mentanglah dia seorang yang pandai. Jika hendak katakan saya tidak pandai ekonomi dalam bab arak dan rokok, saya akui. Lainlah Tronoh memang pakar ekonomi rokok dan arak,” ujarnya.