ROMPIN – Konsep Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan kerajaan dibuat secara khusus dan bercirikan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Malaysia mempunyai ‘acuan’ tersendiri yang tidak sama seperti negara Islam lain seperti Pakistan, Iran atau Arab Saudi.

Malangnya, Mujahid berkata ada segelintir pihak yang memperlekehkan dan mempermainkan konsep Rahmatan Lil Alamin yang bermaksud rahmat untuk semua sehingga menimbulkan fitnah.

“Apa yang kami lakukan adalah untuk menjaga Islam dan keharmonian yang ada tapi ada suara-suara di luar sana mendakwa kami sebagai khadam kepada DAP atau membenarkan perkara yang tidak boleh dalam Islam.

“Malah ada yang memberikan nama yang tidak elok kepada konsep ini. Jangan dipermainkan perkara ini kerana dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, perkara kecil yang tidak tepat seperti ini boleh menjentik kepada perkara yang lebih besar,” katanya.

Mujahid berkata, demikian semasa berucap merasmikan Karnival Rahmah dan Rakaman Forum Perdana Ehwal Islam di Politeknik Muadzam Shah di sini hari ini, yang dihadiri Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Pengarah Politeknik Muadzan Shah Hassan Ismail.

Mujahid berkata tindakan segelintir kumpulan itu juga tidak membantu ke arah pembentukan negara yang harmoni yang memerlukan penglibatan semua rakyat dan berharap perbuatan tersebut dihentikan.

Mujahid berkata pelaksanaan konsep Rahmatan Lil Alamin yang diterjemahkan menerusi penganjuran Karnival Rahmah yang menyasarkan penglibatan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

“Karnival ini sebenarnya mahu mengajar orang ramai untuk hidup dalam keadaan harmoni, saling menghormati dan meningkatkan kefahaman konsep Rahmah termasuk kepada masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Mujahid berkata umat Islam juga bertanggungjawab untuk menterjemahkan konsep itu dengan baik dalam kehidupan seharian supaya menjadi contoh kepada mereka yang bukan beragama Islam.

-BERNAMA