PETALING JAYA: Sejumlah RM200,000 dijana sempena konsert jazz amal anjuran Yayasan Jeffrey Cheah dan Kumpulan Sunway di Sunway Resort Hotel and Spa hari ini.

Konsert dihadiri 400 tetamu itu berjaya mengutip dana RM100,000 melalui jualan tiket, manakala RM100,000 lagi disumbangkan Kumpulan Sunway menerusi melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dana yang dikutip itu akan disalurkan kepada Tabung Palu Sulawesi untuk MERCY Malaysia menjayakan misi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, 28 September lalu.

Lebih menarik, konsert berkenaan menampilkan Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M Hashim sebagai penyanyi utama bersama penyanyi selingan menghiburkan tetamu kenamaan dan jemputan.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin adalah tetamu kenamaan yang mencemar duli menyaksikan konsert berkenaan.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah; Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon dan Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia, Ir Amran Mahzan.

Sementara itu, Jeffrey berkata, walaupun fokus utama Yayasan Jeffrey Cheah adalah dalam bidang pendidikan, namun pihaknya berbesar hati membantu mangsa bencana.

“Kami berharap pembabitan kami dan bantuan kewangan ini akan membantu serta menyokong kehidupan mereka yang terjejas dengan bencana.

“Saya juga berterima kasih dengan Razman yang secara sukarela meluangkan masa menyumbang suara dalam konsert ini,” katanya kepada media di konsert berkenaan.

Amran berkata, pihaknya berterima kasih dengan Yayasan Jeffrey Cheah, Razman dan penyumbang yang berbesar hati menyumbang kepada tabung berkenaan – berita harian