KUALA LUMPUR: Tiga lelaki, termasuk masing-masing seorang konstabel polis dan bekas polis bantuan, ditahan awal pagi Isnin lalu kerana disyaki terbabit kegiatan samun.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terdahulu mendapati kereta Honda Civic dinaiki suspek berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Perak, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri dengan memecut kereta mereka tetapi terbabas ke tepi jalan selepas dikejar kira-kira 200 meter.

“Pemeriksaan ke atas kereta dinaiki tiga suspek berusia 20 hingga 35 tahun itu menemukan beberapa komputer riba, permainan video, peralatan disyaki digunakan untuk memecah masuk premis, dua pisau dan jaket hitam ada lambang polis.

“Seorang daripada suspek ditahan adalah konstabel polis, manakala seorang lagi bekas polis bantuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit kegiatan samun dengan memecah masuk pusat hiburan dan pusat siber di sekitar Serdang, Selangor.

“Berdasarkan keterangan itu, kami percaya mereka juga aktif melakukan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

“Kami juga percaya suspek menyasarkan premis tidak berlesen memandangkan belum ada laporan polis berhubung kejadian samun membabitkan pusat hiburan dan pusat siber di daerah ini.

“Justeru, pemilik pusat berkenaan yang pernah dipecah masuk, diminta tampil membuat laporan dan pengecaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Shaharudin berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek berkenaan positif dadah.

“Kesemua suspek itu direman empat hari hingga hari ini sebelum dirujuk kepada pihak polis daerah lain yang berkaitan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya – berita harian