SERI ISKANDAR: Seorang anggota polis berpangkat Konstabel mengalami kecederaan parah di dada selepas tertembak diri sendiri menggunakan submesingan.

Kemalangan berlaku ketika mangsa yang berusia 24 tahun ingin memulakan tugas di Pos Pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perah Tengah di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah hari itu, mangsa cedera pada bahagian dada kiri selepas tertembak dengan senjata api jenis HK MP5.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati senjata tersebut tidak diletakkan dalam kunci selamat ketika kejadian berlaku.

“Senjata tersebut meletup dan melepaskan satu das tembakan. Mangsa dipercayai tertekan picu ketika ingin meletakkan tali seling senjata ke badan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Menurut Mohamad Zainal, kes tersebut disiasat di bawah kertas enkuari polis (KEP).

Mangsa yang berasal dari Melaka itu telah memulakan tugasnya di IPD Perak Tengah pada September 2016 selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), tambah beliau.