IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Konstabel patah tangan kiri dirempuh mat rempit yang cuba melarikan diri, di sini, awal pagi ini (Sabtu).

Kejadian berlaku ketika Ops Cegah Samseng Jalan Raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Leong Boon Swee, Medan Kid, kira-kira 3 pagi.

Konstabel Md Rofizan Musa, 26, patah pada dua bahagian tulang tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurut laporan MyMetro yang memetik sumber, kejadian berlaku ketika 24 anggota dengan bantuan 23 anggota RELA mengadakan sekatan jalan dan mengepung lebih 100 mat rempit yang dipercayai baru selesai berlumba haram.

“Sejurus menyedari dikepung kumpulan samseng jalan raya itu cuba melarikan diri termasuk menunggang melulu dan melawan arus.

“Seorang mat rempit berusia 19 tahun kemudian rempuh anggota terbabit yang cuba menahan suspek hingga mengakibatkan mangsa jatuh dan patah tangan,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai di sini hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal itu turut jatuh dan mengalami luka pada beberapa bahagian badan akibat terseret di atas jalan sebelum berjaya ditangkap.

“Seorang lagi anggota polis turut dirempuh mat rempit lain. Tapi, anggota polis itu tidak mengalami kecederaan, manakala penunggang yang juga berusia 19 tahun cedera akibat terjatuh.

“Kedua-dua remaja terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan. Selain itu, polis tahan keseluruhan 67 penunggang dan pembonceng motosikal dalam operasi berkenaan,” katanya.

Katanya, 185 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik terutama tiada lesen dan melanggar lampu isyarat merah.

“Enam motosikal curi juga ditemui ditinggalkan kumpulan mat rempit itu ketika melarikan diri dari sekatan yang dijalankan.

“Kesemua penunggang dan pembonceng motosikal kemudian dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi serta dikenakan saman,” katanya.

Operasi tamat kira-kira 7 pagi.