IPOH – Polis menahan seorang kontraktor projek pemasangan bateri pencawang telekomunikasi selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian bateri dan kabel bernilai RM15,000 di sebuah menara pencawang telekomunikasi di Taman Bemban Jaya, Batu Gajah dekat sini semalam.

Dalam tangkapan pada pukul 11.40 pagi itu, polis berjaya memberkas lelaki berusia 42 tahun itu sewaktu sedang cuba melarikan diri selepas mencuri kabel dan bateri pencawang telekomunikasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, sewaktu kejadian, suspek dipercayai telah mencuri 34 barangan termasuk lapan buah bateri pencawang dan kabel telekomunikasi.

Jelasnya, polis berjaya mengesan kegiatan suspek selepas menerima maklumat daripada orang ramai sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak memecut kereta yang dipandunya kira-kira 100 meter sebelum terbabas ke dalam kawasan hutan.

“Siasatan di dalam kereta yang dipercayai disewa di Tanjung Rambutan, Ipoh itu menemui bateri pencawang telekomunikasi dan kabel di bahagian tempat duduk belakang serta bonet kereta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Tian Kee, siasatan terhadap suspek mendapati lelaki tersebut berasal dari Serian, Sarawak dan kini menetap di Taman Klebang Jaya, Ipoh dekat sini.

Jelasnya, suspek juga dipercayai pernah bekerja dengan syarikat kontraktor telekomunikasi sebelum berhenti pada lima tahun lalu.

“Suspek mempunyai lesen menjalankan kerja pemasangan bateri dan kabel di menara pencawang telekomunikasi.

“Justeru, polis percaya kepakaran tersebut digunakan oleh suspek untuk mencuri bateri dan kabel pencawang telekomunikasi sebelum kelengkapan tersebut dijual kepada kontraktor lain,” katanya.

Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini untu membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE