IPOH: Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini mengakui bahawa kontroversi yang dilaluinya sejak seminggu dua lalu telah menyebabkan tumpuan terhadap kerjanya agak terganggu.

Oleh itu, katanya, beliau memikirkan perlu ada fokus lebih besar untuknya di dalam kerjaya sebagai seorang pemimpin kerajaan negeri dan ahli politik.

“Bukan seratus peratus desakan peminat tetapi memikirkan kerjaya politik yang saya kira perlu diberi tumpuan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PAFA di sini, petang ini.

Hasnul merupakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak.

Mengambil contoh Subkhiddin Mohd Salleh yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk itu baru-baru ini, Hasnul melahirkan rasa sedih apabila keluarganya turut terpalit dalam kontroversi itu.

Sehubungan itu, beliau akan menyerahkan surat perletakan jawatan dalam tempuh satu atau dua hari ini.

Menjawab persoalan kemungkinan perletakan jawatan itu ditolak oleh Jawatankuasa Tertinggi PAFA, Hasnul berkata, beliau masih akan ke arah itu dan keputusannya muktamad.

Katanya, beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang menyerahkan kepada beliau (Hasnul) untuk membuat keputusan.

Mengenai beberapa rancangan besar yang cuba dilakukan di dalam PAFA sebelum ini, Hasnul berkata, beliau mahu memantapkan pasukan di samping mengurangkan perbelanjaan.

Beliau memberitahu, PAFA terpaksa berbelanja kira-kira RM200,000 sebulan untuk enam tujuh bulan lalu, semata-mata untuk membayar gaji pemain yang tidak beraksi, termasuk ada yang tidak pernah bermain walaupun untuk satu perlawanan.

Pada awal sidang media itu, Hasnul mengumumkan bahawa mesyuarat berkenaan juga telah bersetuju untuk mengekalkan ketua jurulatih Mehmet Durokuvic untuk tempuh lebih setahun.

Sebelum mesyuarat itu, PAFA turut menandatangani kontrak setahun dengan pemain tengah Terengganu, J. Partiban sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran musim hadapan.

Partiban, 26, adalah bekas pemain Perak yang berhijrah ke Terengganu empat tahun lalu, kini mahu berkhidmat semula dengan pasukan negeri kelahirannya.