IPOH: Menamatkan pengajian di universiti bukan noktah kepada proses pembelajaran bahkan ia adalah permulaan cabaran kehidupan buat para graduan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, graduan tidak harus jemu mengejar ilmu walaupun selepas menamatkan pengajian kerana ilmu menjadi penentu kepada hala tuju kehidupan.

“Tiada yang mustahil dalam menimba ilmu, apa yang mustahak adalah kemahuan diri sendiri untuk berjaya,” katanya semasa menyampaikan ucapan khas di Konvokesyen Quest International University Perak (QIUP) di Hotel Casuarina, Meru Raya di sini, hari ini.

Konvokesyen itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Majlis Universiti, Datuk Seri Dr. Vijay Eswaran dan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Raman Narayanasamy.

Dr. Zambry turut menceritakan kisah hidupnya yang boleh dicontohi oleh para graduan QIUP, kisah kejayaannya yang bermula dari seorang anak nelayan sehingga berjaya menamatkan pelajaran di menara gading.

“Sudah menjadi lumrah sebagai anak nelayan, kehidupan penuh mencabar demi mencari nafkah, apabila bangun pagi tugas saya ke laut untuk mencari sumber makanan.

“Tapi saya mengambil cabaran ini atas kehendak dan keazaman diri untuk mengubah nasib diri, sehingga saya berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di universiti,” ujarnya.
Katanya, beliau mendapat dua tawaran untuk melanjutkan pelajaran sehingga terpaksa memilih bidang pengajian yang terbaik.

“Saya mendapat tawaran dari Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) namun tidak dapat menentukan ke mana harus saya pergi sehingga keputusan dibuat oleh bapa saya yang memilih UIA.
“Walaupun ketika itu UIA masih baru dan saya merupakan graduan kumpulan pertama dilahirkan oleh UIA,” katanya.

Sementara itu, Dr. Vijay menasihatkan para graduan agar menerapkan tabiat membaca dalam kehidupan seharian dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kemudahan internet.

“Masyarakat kini terlalu bergantung kepada internet sehinggakan mereka mengabaikan buku yang sepatutnya menjadi rujukan utama. Tanam tabiat supaya anda membaca buku-buku yang membuka minda sekaligus memahami ilmu yang lebih bermanfaat,”ujarnya.

Konvokesyen QIUP kali ke-3 menyaksikan penyampaian ijazah kepada pelajar dari Fakulti Perniagaan, Perubatan, Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan serta Perakaunan Kewangan, Bioteknologi, Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi.