SHAH ALAM: Seorang koperal yang baru selesai bertugas maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Persiaran Masjid berhampiran Hotel Concorde, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi, Koperal Djamaluddin Nizam, 46, memandu Proton Exora miliknya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 20, dekat sini.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata sebelum kemalangan, mangsa selesai bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di Seksyen 9.

Katanya, dalam perjalanan pulang, kereta dipandu mangsa melanggar pokok di kiri jalan dipercayai terbabas.

“Akibat rempuhan itu, pokok menimpa bahagian hadapan kereta sebelum kenderaan itu terbakar.

“Mangsa melecur seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Baharudin berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat – berita harian