IPOH – Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan sedang merancang untuk mewujudkan koperasi bank makanan di peringkat negeri Perak sebagai usaha membantu meluaskan perniagaan anggota-anggota koperasi di dalam negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi,Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim penubuhan bank makanan itu masih di peringkat perbincangan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pihak berkaitan.

“Hasrat untuk menubuhkan bank makanan dengan melibatkan koperasi itu sebenarnya selari dengan kerajaan persekutuan untuk melestarikan perniagaan berasaskan makanan ini supaya ianya mengurangkan kebergantungan kita untuk mengimport makanan.

“Walaupun negara kita antara yang luas tanahnya tapi kita gagal menguruskan tanah untuk menghasilkan sumber makanan termasuk ternakan lembu yang pada hari ini terpaksa diimport dan dijual dengan harga yang sangat tinggi.

Selain itu, ikan juga mendapat permintaan tinggi tapi kita masih lagi mengimport ikan. Jika boleh kita wujudkan, beberapa koperasi kecil digabungkan, dijadikan satu konsortium untuk membangunkan tanah tersebut sekaligus membantu ahli-ahli koperasi yang bernaung di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menjadi panel majlis dialog Hala Tuju Koperasi Perak dan majlis ramah mesra bersama Gerakan Koperasi 2018 di Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Eksekutif (Pengurusan) SKM Zazali Haron dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak Azam Sulaiman.

YB Hasnul Zakaria menegaskan, di dalam negeri Perak terdapat dua kawasan tanah iaitu di Seri Iskandar dan Kubu Gajah di mana penggunaan tanah di kawasan-kawasan tersebut tidak digunakan dengan maksimum.

“Kita boleh menggunakan tanah di situ untuk menghasilkan produk penternakan dan apabila bank makanan ini diwujudkan kelak, maka insyaAllah hasrat kerajaan negeri untuk mengawal harga makanan ini dapat direalisasikan.

“Kita akan bertemu dengan pihak tertentu seperti Kementerian Pertanian untuk mencari jalan yang terbaik dalam melantik pihak yang pakar untuk menguruskan bank makanan ini,” tambah beliau.

Beliau yang juga memegang portfolio NGO berkata, akan menjalankan promosi untuk menarik minat para belia untuk menyertai koperasi dengan kerjasama SKM dan persatuan serta pertubuhan belia.

“Kita mempunyai perancangan untuk menarik anak muda untuk turut sama dalam koperasi ini sebab kalau kita lihat memang anak muda ini mereka lebih mahu kepada keuntungan jangka masa pendek dan keuntungan besar apabila menjalankan perniagaan.

Pada saya ada risiko yang tinggi kalau perniagaan ini berasaskan kepada syarikat persendirian atau enterprise.

“Akan tetapi kalau mereka pilih untuk menyertai dan bergabung dalam koperasi ini, mereka boleh mendapat pengetahuan serta pengalaman bagaimana hendak menguruskan perniagaan yang besar melalui platform koperasi”, tambah beliau lagi.