TINDAKAN sama ada untuk menarik balik atau tidak kopi campuran segera perisa durian di pasaran bergantung kepada hasil laporan kimia mengenai isi kandungannya yang disyaki tercemar dengan bahan terlarang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pihaknya masih menunggu hasil laporan berkenaan bagi mengesahkan sama ada ia berbeza daripada kandungan asal kopi berkenaan atau sebaliknya.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan bukti kukuh sebelum membuat keputusan untuk menarik sebarang produk atau sebaliknya dan belum dapat pastikan bila laporan itu akan keluar.

BERITA TERDAHULU:kopi campuran Dadah,2 Lagi Dikejar ke HPP

“Kita tidak boleh ambil sebarang tindakan dan buat kesimpulan selagi laporan tepat belum ada kerana tidak mahu berlaku penganiayaan. Pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk unsur sabotaj kerana persaingan dalam perniagaan dan sebagainya.

“Selain itu, kita bukan saja menguji sampel kopi itu, kita ambil sampel lain juga untuk buat perbandingan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kanser Sedunia 2018 di Institut Kanser Negara di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan kementeriannya sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap pengeluar kopi campuran segera terbabit berhubung dakwaan ia mengandungi benda asing disyaki dadah.

Minggu lalu, lima individu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat pitam dan mengalami keletihan melampau selepas meminum kopi campuran segera yang diberikan secara percuma oleh individu tidak dikenali.

Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa Singapura turut menarik balik jualan kopi berperisa durian selepas laporan beberapa individu jatuh sakit akibat mengambil minuman itu di Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata, kanser dikaitkan dengan lima tingkah laku dan amalan berisiko iaitu berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, merokok serta pengambilan alkohol.

“Ujian saringan untuk mengesan kehadiran kanser pada peringkat awal serta mengenali gejala dan tanda awal kanser adalah langkah yang sangat penting dalam membantu meningkatkan peluang supaya kanser dapat dirawat dengan baik dan sembuh sepenuhnya,” katanya. – HMETRO