IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming ditempelak kerana sengaja memanipulasikan fakta secara tidak adil untuk mengelirukan rakyat demi menidakkan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, sikap selektif terhadap perkara negatif yang diamalkan oleh Kor Ming itu langsung tidak mencerminkan etika seorang pemimpin senior di kalangan wakil rakyat pembangkang negeri itu.

“Saya amat mengenali beliau, kita sama-sama masuk dewan ini pada tahun 1999 tetapi setiap kali berucap, Kor Ming akan bawa angka serta fakta entah dari mana dia kutip, kemudian dia bentangkan dengan harapan orang terkeliru.

“Namun, lama kelamaan semua orang sudah tahu taktik yang digunakannya. Dia memang suka membawa sesuatu fakta atau angka kemudian hanya memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang negatif dan abaikan perkara positif,” katanya pada satu sidang media di sini pada Isnin.

Saarani memberitahu, terbaharu, Kor Ming didapati cuba memanipulasikan fakta yang diperolehi dari Jabatan Statisik.

“Dia membentangkannya sebentar tadi dengan gaya yang amat yakin tapi dia hanya petik satu perkara sahaja yang ada dalam statistik itu, ini memang tidak patut, kita sebagai wakil rakyat tidak seharusnya cuba untuk menipu rakyat sebegitu,” ujar beliau.

Terdahulu, ketika Saarani menggulung perbahasan, Kor Ming telah mencelah dan mendakwa Perak merupakan negeri keempat termiskin di Malaysia berdasarkan kajian Pendapatan Pertengahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statisik.

“Tetapi dalam waktu sama, dia langsung tidak sebut pendapatan median sejak Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengambil alih. Pada tahun 2009 hingga 2016 telah mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus, kadar kemiskinan kini hanya 0.3 peratus.

“Ini sepatutnya secara adil beliau kena sebut, jangan hanya fokus kepada satu perkara sahaja sedangkan laporan sebenar terdapat banyak lagi perkara positif,” ujar Saarani yang juga ADUN Kota Tampan.

Beliau menambah, dakwaan Perak negeri keempat termiskin juga adalah tidak benar kerana ianya merupakan satu perkara yang relatif.

“Jika pendapatan seseorang individu itu hanya RM3,000 di Kuala Lumpur sudah tentu hidupnya susah, namun bagi individu yang tinggal di Lenggong ianya sudah cukup mewah, jadi ini merupakan satu perkara yang relatif,” jelasnya.