IPOH: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming hari ini menyatakan kekecewaan beliau di atas keputusan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tawaran mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) baru-baru ini.

Katanya, beliau juga kecewa di atas tindakan Ahmad Zahid yang dilihat tidak mahu memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang yang efektif melalui peluang yang diberikan peluang kerajaan Pakatan untuk menerajui jawatankuasa itu bagi memastikan satu kerajaan yang telus dan berintegriti.

Malah, ianya adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia pihak pembangkang diberikan peluang untuk mengetuai PAC dan merupakan bukti kepada agenda reformasi Pakatan Harapan.

“Kecewa sebenarnya apabila Zahid menolak tawaran untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi (PAC) atas dasar beliau tak berani memikul tanggungjawab ini.

“Pengerusi PAC adalah satu jawatan cukup berprestij dan merupakan satu jawatankuasa pilihan Parlimen yang berhak untuk panggil sesiapa sahaja memberikan keterangan dan dibicarakan dalam mesyuarat PAC.

“Ini satu-satunya komuniti yang mempunyai hak untuk memangggil saksi atau memanggil sesiapa sahaja termasuk Menteri dan Perdana Menteri, Ketua Polis Negara untuk memberikan kenyataan,”katanya dalam sidang DUN ke-14 di Bilik Media di Bangunan Darul Ridzuan,di sini hari ini.

Katanya lagi, beliau berasa kecewa kerana selaku ketua pembangkang Zahid sewajarnya memikul amanah sebagai check and balance (imbang dan periksa) kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

“Saya (serahkan) dan terpulanglah kepada rakyat untuk menbuat penilaian kenapa ketua pembangkang tak berani ambil jawatan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam sidang DUN ke-14 di Bilik Media di Bangunan Darul Ridzuan,di sini hari ini.

Menjawab satu soalan, Kor Ming yang juga ahli Ahli Parlimen Teluk Intan mahu rakyat sendiri menilai sebab kenapa Zahid menolak tawaran tersebut.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan bahawa bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee merupakan calon tunggal pembangkang untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak jawatan itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dan perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada Kabinet.