IPOH – Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham diminta untuk lebih tegas ketika mengendalikan Persidangan Dewan Negeri yang berlangsung selama enam hari, berakhir Isnin depan.

Gesaan itu dibuat, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menyifatkan Ahli Parlimen Beruas itu terlalu berlembut hingga suasana Dewan dieksploitasi pembangkang.

“Daripada pemerhatian dan penelitian saya sejak 10 minit pertama lagi, saya merasakan Speaker terlalu bermurah hati hingga disalah guna oleh pembangkang. “Beliau cuba untuk memuaskan hati semua pihak, jadi saya cadangkan agar keadaan ini diubah dan Speaker mulai esok perlu bersikap lebih tegas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau turut menyifatkan, barisan pembangkang hari ini, tidak berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif.

Katanya, bukan sahaja sengaja mengganggu sesi soalan lisan berlangsung, malah bersikap tidak senonoh dengan menengking dan menuding jari ke arah Speaker.

“Pada sesi soal jawab yang pertama, 40 minit digunakan hanya untuk jawab satu soalan sahaja, pembangkang (bangun) bukan nak tanya soalan pun, tapi untuk mengacau sahaja.

“Saya perhatikan Yang Berhormat Pangkor (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) ada menuding jari dan berteriak ke arah Speaker, ini sikap yang perlu dielakkan.

“Bertikam lidah itu biasa kerana ia sebahagian asam garam dalam Persidangan Dewan Negeri, tetapi bukan berperangai buruk, saya harap keadaan sedemikian boleh diperbaiki,” katanya – sinar