IPOH: Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memperlekehkan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menjadi “pengutip sampah” menunjukkan bahawa beliau sudah mula tergugat dengan kredibiliti kerajaan dalam mendekati rakyat secara telus.

Pada Khamis, Pengerusi DAP Perak itu mengeluarkan komen sinis bahawa tindakan Dr Zambry dalam bersama membersihkan bandaraya Ipoh sebagai aksi ghairah publisiti murahan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, beliau cukup bersimpati dengan Kor Ming yang sebenarnya sudah “miskin idea” untuk menjatuhkan kerajaan negeri. 

“Ini adalah prinsip dan falsafah YAB MB yang mengamalkan 3P, iaitu pendekatan, turun padang dan penyelesaian. Ini bukannya kali pertama beliau berbuat sebegitu, jadi kenapa Kor Ming tidak senang duduk dan mengeluarkan komen sebegitu?

“Malah, dia juga bertindak mengaitkan tindakan Dr Zambry dengan kos sara hidup dan status ekonomi Perak…dah berulang kali guna modal ini, sedangkan sudah banyak kali dijelaskan mengenainya melakui media dan dalam sidang Dewan Undangan Negeri bukan?,” katanya ketika dihubungi Suara Perak. 

Menurut Zahir, komen Kor Ming berkenaan bonus kepada kakitangan awam Perak adalah tidak rasional kerana ianya adalah kesepakatan yang dicapai antara semua negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).