IPOH: Di saat ramai yang memuji kerendahan hati dan teladan yang ditunjukkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam memastikan kebersihan bandaraya Ipoh, masih ada yang dengki dan seolah-olah hilang modal untuk terus memperkecilkan tindakan itu. 

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming di dalam satu kenyataan, bertindak kebudak-budakan dengan mempersoalkan tindakan  Dr Zambry turun padang bersama-sama pekerja am Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengutip sampah pada awal pagi Khamis. 

Seawal pukul 6.30 pagi Khamis, Dr Zambry bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man telah membuat lawatan mengejut dan memakai T-shirt kakitangan MBI untuk membersihkan dan mengutip sampah di beberapa lokasi.

Tidak cukup dengan tohmahan sinis, Pengerusi DAP Perak itu turut menyelar tindakan Dr Zambry yang kononnya mengejar publisiti murahan dengan membawa jurukamera dan para media pada sesi itu.

“Dr Zambry dinasihatkan utamakan kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan, bukannya menyamar sebagai pekerja MBI.

“Tindakan Menteri Besar menyamar sebagai pembuang sampah menunjukkan beliau sudah hilang fokus dan tidak peduli tentang kebajikan, sebaliknya ghairah mencari publisiti murahan,” kata Kor Ming dalam satu kenyataan media.

Jelas, masih ada sentimen negatif yang wujud di dalam minda ADUN Kepayang itu tanpa memikirkan perihal dan falsafah Dr Zambry yang sememangnya gemar bertemu dengan rakyat melalui caranya tersendiri. 

Ini bukanlah kali pertama Dr Zambry melakukan aktiviti seperti walkabout dan lawatan mengejut ke beberapa kawasan di Ipoh dan Perak untuk menyelami dan memahami masalah rakyat tanpa mengira lapisan umur dan latar belakang. 

Malah, dalam isu pembersihan kawasan di Ipoh, ramai Ahli Dewan Undangan Negeri daripada  pembangkang sendiri mengakui tindakan Dr Zambry adalah contoh terbaik, malah berminat untuk menyertai program bersama rakyat. Jadi di manakah Kor Ming selama ini?

Seolah-olah ketandusan idea baharu, Kor Ming juga sempat menyelitkan modal lama dengan membandingkan kerajaan Pulau Pinang dan Selangor yang dapat memberikan bonus lebih tinggi beranding dengan kakitangan awam Perak yang hanya menerima “sedekah” bernilai RM500 sahaja.

ADUN Kepayang itu turut menuduh usaha Dr Zambry itu hanya sandiwara dan menyarankan supaya ia dihentikan, kononnya telah menjadi bahan ketawa di kalangan rakyat negeri Perak.

Pakatan Harapan menuntut supaya Dr Zambry mengemukakan langkah-langkah kerajaan negeri dapat menambah pendapatan kakitangan awam khususnya pekerja bawahan.

Cukuplah dengan sandiwara dan wayang kulit yang tidak membawa manfaat kepada rakyat ini,” dakwanya.