IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming perlu mendedahkan siapa sebenarnya pegawai kerajaan yang dimaksudkan membocorkan dokumen berhubung aset Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Kor Ming yang juga ADUN Kepayang perlu bertanggungjawab dengan kenyataannya itu, jika tidak ia tidak dianggap sebagai sahih.

“Dalam jawapan penggulungan semalam, saya menyebutkan mengenai jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh Kepayang yang mengatakan dia mendapat makumat itu dari pegawai kerajaan.

“Saya sebutkan bahawa tindakan beliau dengan cuba melibatkan kakitangan awam, dia perlulah bertanggungajwab dengan kenyataan itu kerana kalau tidak, kenyataan itu tidak dianggap sebagai kenyataan yang `credible’ tetapi yang menjadi mangsanya ialah penjawat awam secara umumnya kerana ia memberi imej yang buruk kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Menurut Dr Zambry, jika tuduhan tersebut benar, maka ADUN Kepayang itu perlu mendedahkan pegawai kerajaan berkenaan kerana dalam peraturan kerajaan setiap kakitangan awam tertakluk kepada undang-undang Akta Rahsia Rasmi.

Katanya, perkara itu bukan hanya melibatkan kerajaan negeri Perak, malah turut melibatkan semua kerajaan, baik kerajaan BN atau kerajaan negeri pembangkang.

Dr Zambry menjelaskan bahawa beliau tidak hanya merujuk semata-mata kepada perkara yang berkaitan dengan MB Inc tetapi merujuk kepada semua perkara.

“Bayangkan kalau ada kebenaran apa yang disebutkan oleh Kepayang, setiap kakitangan awam boleh membocorkan semua maklumat, maka ia memberi kesan yang tidak baik kepada kerajaan dan kakitangan awam kerana semua tertakluk kepada undang undang dan peraturan,” ujarnya.

Sambil melahirkan simpati beliau kepada kakitangan awam, Dr Zambry membidas pembangkang kerana seolah-olah meletakkan imej kakitangan awam sebagai tidak beramanah dan tidak bertanggungjawab.

Semasa sesi persidangan Dewan kelmarin, Dr Zambry berkata, pihaknya akan mengenalpasti pegawai kerajaan yang didakwa membocorkan dokumen mengenai aset MB Inc kepada pembangkang.