IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming memutarbelitkan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, Kor Ming membuat dakwaan seolah-olah Kementerian Pengangkutan hanya menerima permohonan sebuah syarikat swasta dan bukannya daripada kerajaan negeri Perak.

“YB Kepayang memaklumkan bahawa Kerajaan (Persekutuan) telah menerima cadangan daripada sebuah syarikat swasta bagi membina lapangan terbang baharu di Perak, tetapi apa yang terjadi ialah, ianya dipetik dan diputarbelitkan faktanya.

“Seolah-olah tiada cadangan dari kerajaan negeri untuk membina lapangan terbang antarabangsa ini, sedangkan pada 28 November ini, satu lagi mesyuarat telah dipanggil oleh Kementerian Pengangkutan bersama-sama dengan kerajaan negeri Perak untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bilik Sidang Media, Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mah turut menyelar tindakan Pengerusi DAP Perak itu yang sering mempersendakan dan menyangkal apa sahaja cadangan dari kerajaan negeri untuk membina lapangan terbang itu, bukan sahaja di Dewan bahkan dalam ceramah-ceramahnya.

“Kerajaan negeri memang serius dan mengutamakan pembangunan projek tersebu. Memang nyata cadangan ini adalah melalui kerajaan negeri, bukan seperti yang didakwa oleh Nga,” katanya.

Dalam surat jawapan bertarikh 24 Oktober 2017, Kementerian Pengangkutan menyatakan telah menerima cadangan daripada kerajaan negeri Perak untuk pembangunan sebuah lapangan terbang baharu.

Ia dicadangkan dibina oleh syarikat Malaysia Resources Corporation Sdn. Bhd. (MRCB) di atas tanah kerajaan seluas kira-kira 10,321 ekar di Gerbang Perindustrian Cempaka Sari (GPCS), Mukim Bota dan Lambor Kanan, Daerah Perak Tengah.