IPOH – Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) disifatkan sebagai projek ‘biawak hidup’ yang membebankan rakyat susulan daripada jumlah kerugian yang dicatatkannya setakat ini sebanyak RM474.4 juta.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, projek yang dibangunkan oleh pimpinan terdahulu itu telah mengakibatkan kerajaan negeri terpaksa menanggung pembayaran semula pinjaman yang dibuat daripada bank berjumlah RM15 juta setahun selain mengalami kerugian hampir setengah bilion.

“Jumlah kerugian dicatatkan sebanyak RM474.4 juta termasuk kemerosotan nilai aset sebanyak RM186.5 juta dan kerugian kemerosotan nilai atas penghutang bukan dagangan sebanyak RM90.4 juta.

“Perak Corporation Berhad iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) merupakan pemegang saham terbesar di dalam projek MPAS dengan jumlah pelaburan sebanyak RM248 juta.

“Kerugian yang dialami dan bayaran semulan pinjaman bank ini siapa nak bayar? Perak Corporation Berhad terpaksa tanggung RM15 juta setahun, ia bagaikan ekonomi negeri berdarah setiap hati, kerugian ini sepatutnya boleh digunakan untuk perbelanjaan lain yang menguntungkan rakyat,” katanya pada satu sidang media khas di sni.

Justeru itu, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong, menggesa kerajaan negeri terdahulu yang dipimpin bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memohon maaf kepada rakyat di atas kesilapan yang dilakukan pihaknya dan satu siasatan forensik dalaman perlu dilakukan terhadap projek terbabit.

“Sudah berkali-kali kami dari Pakatan Harapan mengingatkan mereka (Kerajaan Negeri BN) supaya tidak terlibat dalam projek ini sebelum ini kerana bukan tugas kerajaan negeri untuk terlibat di dalam bidang taman tema.

“Satu persoalan lagi adalah pada permulaan projek ini kerajaan negeri tidak terlibat, PKNP hanya sepatutnya beri tanah sahaja kepada pihak swasta untuk memajukan taman tema ini, namun tidak tahu kenapa tiba-tiba rancangan telah berubah dan kerajaan negeri jadi pelabur terbesar dalam projek ini.

“Walaupun kerajaan negeri nak selamatkan projek gajah putih ini tetapilebih penting audit forensik perlu disegerakan, mereka yang terlibat membuat keputusan untuk terlibat dalam projekini juga perlu disiasat dan jika perlu wajib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.