MELAKA 13 Nov. – Tindakan segelintir penyampai radio swasta di negara ini yang mencemarkan bahasa Melayu dengan penggunaan perkataan-perkataan agak kasar seperti `korang’ dan `awak’ apabila berkomunikasi dengan pendengar amat dikesali kerana ia boleh membantut usaha kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ketua Kluster Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sebagai individu yang mempunyai peminat dan menjadi ikutan masyarakat, penyampai radio berkenaan seharusnya sedar mereka sebenarnya berkomunikasi dengan pelbagai jenis golongan pendengar setiap kali ke udara dan amat tidak wajar menggunakan perkataan tersebut untuk berbicara.

“Pencemaran dalam bahasa Melayu kini dilihat semakin berleluasa apabila terdapat segelintir penyampai radio yang menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai antaranya `korang’ dan `awak’ sedangkan pendengar radio bukan sahaja seangkatan dengan mereka malah ada dalam kalangan pembesar negeri, golongan lebih berusia seperti guru dan ibu bapa serta kerabat diraja.

“Sepatutnya mereka ini perlu diberi kesedaran termasuk menghadiri kursus penambahbaikan apabila berkomunikasi dengan pendengar kerana bagi saya jika perkara ini terus dibiarkan ia seolah-olah akan membunuh bahasa kebangsaan kita,” katanya ketika ditemui selepas program Bengkel Penghayatan Pantun dan Dondang Sayang anjuran Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma) di Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini sebentar tadi.

Program tersebut dirasmikan oleh Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan dihadiri lebih 100 peserta antaranya pelajar sekolah, penggiat seni dan budaya dari Melaka dan beberapa buah negeri.

-UTUSAN  ONLINE