SEOUL: Korea Utara menuduh Amerika Syarikat (AS) berniat jahat, dengan mengatakan Washington mengenakan sekatan penuh terhadap Pyongyang yang dianggap mengganggu kemajuan usaha menghapuskan program senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Ketika pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada Jun lalu kedua-dua pemimpin itu menandatangani komitmen agak samar untuk menghapuskan program senjata nuklear, yang dianggap terlalu jauh dari permintaan Amerika agar program itu dihentikan sepenuhnya.

Trump menegaskan sidang kemuncak dengan Jong-un di Singapura adalah satu kejayaan bersejarah tetapi kedua-dua pihak nampaknya saling mengadu usaha itu seolah-olah terhenti.

Dalam satu kenyataan, kementerian luar Korea Utara menuduh AS memalukan rakan mereka dalam dialog dan cuba merosakkan niat baik mereka dalam membentuk kepercayaan yang boleh dilihat dengan mengadakan perjanjian antara Trump dan Jong-un.

Kementerian itu berkata, mengharapkan ‘apa juga hasil’ untuk meneruskan rundingan dalam konteks itu adalah satu tindakan yang tidak bijak seolah-olah menunggu ‘buah yang tak gugur’

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas AS mencadangkan agar tekanan diteruskan terhadap Pyongyang dengan mengenakan sekatan penuh terhadap program senjata nuklearnya. – AFP