IPOH : Lapan warga China yang tiba bersama-sama lelaki yang diuji positif koronavirus di Singapura telah memasuki Malaysia pada Khamis.

Bagaimanapun, mereka telah dikuarintin di sebuah hotel di Johor Bharu untuk pemantauan lanjut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya seminggu.

“Mereka sedang dipantau, mereka diasingkan di sebuah hotel dan akan dipantau sekurang-kurangnya seminggu.

“Mereka bukan pesakit, mereka dalam pemerhatian sama ada mereka ada menunjukkan tanda-tanda (koronavirus) sebab mereka ‘contact’ dengan kes yang disahkan di Singapura,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Jumaat.

Pada Khamis, media Singapura melaporkan seorang warga China diuji positif sekali gus menjadi mangsa pertama wabak coronavirus di negara seberang tambak itu.

Menurut laporan itu, seorang lelaki berusia 66 tahun berasal dari Wuhan, China tiba di Singapura bersama sembilan rakan lain, pada Isnin lalu menginap di Resort Shangril-La Rasa Sentosa.

Laporan itu turut menyebut lapan individu dari kumpulan yang tiba bersamanya ke Singapura sudah pun berangkat pulang dari negara berkenaan dan kementerian sudah menghubungi pihak berkuasa negara yang mereka tujui.

Sementara itu, Boon Chye berkata, kerajaan akan meningkatkan peralatan saringan di semua lapangan terbang dan pintu masuk ke negara ini untuk mengekang kemasukan wabak tersebut.

Ia ekoran beberapa kes yang dilaporkan di Singapura dan Thailand, selain di Hong Kong, Taiwan, Macau, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Menurutnya, walaupun setakat ini belum ada kes positif koronavirus di negara ini, tetapi Malaysia tetap berisiko kerana menerima kira-kira tiga juta pelancong China setiap tahun.