KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan yang perlu dan berterusan dalam menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat serta isu keselamatan dan pertahanan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perincian titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang memuji usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keselamatan juga, sewajarnya diambil perhatian bagi memastikan usaha itu dilaksana secara berterusan.

Memulakan sesi perbahasan di Dewan Rakyat esok, beliau berkata, isu kos sara hidup juga antara topik hangat yang akan dibahas Ahli Parlimen, sudah tentu kerajaan akan menjawab segala persoalan dibangkit.

“Kos rumah meningkat yang disebabkan kenaikan kos bahan binaan juga dibangkitkan dalam titah baginda.

“Sememangnya kerajaan menyedari apa yang diperlukan ketika ini adalah rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Selain itu, soal infrastruktur dan prasarana yang harus dibina di bandar dan luar bandar dijangka akan menjadi bahan perbahasan di Dewan Rakyat kali ini,” katanya.

-BeritaHarian