MENYESALI perbuatannya selain mengaku terpaksa mencuri atas desakan kos sara hidup yang tinggi.

Itu antara alasan tertuduh, Haffizan Hanafiah, 28, ketika merayu hukuman diringankan sebelum dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri dua botol syampu dan sebotol sabun pencuci bernilai RM51.05 pada 12 Ogos lalu.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Majistret Cindy Mc Jude Balitus mengarahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam supaya menjalani hukuman bermula tarikh ditangkap.

Dalam sesi rayuan, tertuduh berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama selain merayu hukuman dipendekkan kerana dia perlu menjaga ahli keluarganya.

Haffizan mengaku bersalah mencuri dua barangan itu di kedai di Warisan Square pada 4.30 petang, 12 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM100 selepas mengaku bersalah mencuri satu kilogram gula-gula.

Cindy turut mengarah kedua-dua tertuduh menjalani tambahan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Raimin Lahiludin dan Moh Fitri Abdul, masing-masing berusia 38 tahun didapati mencuri gula-gula berkenaan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan Segama pada 8 pagi, 16 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh yang mengaku salah didakwa mengikut Seksyen 22(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Bab 80) Negeri Sabah yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 dan penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Moh Fitri turut diarahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dijalankan Pegawai Pendakwa Polis Inspektor Albert Basiri – hmetro