KUALA LUMPUR : Malaysia berkemungkinan memasuki gelombang ketiga penularan wabak COVID-19 seterusnya menjadi lebih besar seperti tsunami jika orang ramai masih ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang merayu supaya rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang perintah itu berkuat kuasa.

“Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar.

“Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap “tidak kisah,” katanya menerusi status di akaun Facebook rasminya.

Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari berkuat kuasa sepenuhnya hari ini selepas diumumkan pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu juga membabitkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara.

Bagaimanapun, sikap panik berhadapan dengan situasi tidak diduga ini masih jelas dilihat pada orang ramai, yang masih belum memahami mengenai perintah berkenaan.Wujud pembelian panik serta kesesakan serius di balai polis malam tadi berikutan orang ramai mahu mendapatkan permit pergerakan rentas negeri terutama untuk pulang ke kampung.