IPOH – Dua warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan di sebuah stesen minyak di Pengkalan Hulu selepas dikesan cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sekitar jam 11.45 pagi, semalam dilakukan susulan aduan wujudnya

aktiviti penyelewengan bahan bakar bersubsidi ke negara jiran menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran tempatan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, pemerhatian dilakukan selama dua minggu di lokasi tersebut mendapati terdapat beberapa Mercedes Benz

mengunjungi stesen minyak berkenaan dan membeli bahan bakar itu dalam kuantiti yang banyak.

Menurutnya, ketika serbuan, lelaki dan wanita masing-masing berusia 31 dan 34 tahun itu mengisi minyak petrol RON95 ke dalam dua kereta jenis Mercedes Benz.

“Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan digunakan tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol dan diesel dalam kuantiti yang banyak.

“Tangki minyak kenderaan yang dipandu itu juga disyaki telah diubahsuai bagi membolehkan mereka mengisi lebih banyak minyak.

“Pemeriksaan juga mendapati, satu daripada kenderaan itu pernah diambil tindakan tahun lalu kerana disyaki membuat tangki tambahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daripada maklumat diperolehi, kedua-dua mereka melakukan pembelian sekurang-kurangnya tiga kali, sehari melibatkan pembelian 60 hingga 70 liter petrol yang bernilai antara RM130 hingga RM150.

Katanya, kegiatan tersebut aktif dilakukan sejak dua bulan lalu.

“Kita telah membuat sitaan ke atas 75 liter minyak RON95 bernilai RM150 dan dua kenderaan yang digunakan dengan nilai rampasan RM10,150,” katanya – sinar