IPOH – Sebuah syarikat pembungkusan minyak masak dikenakan tindakan selepas disyaki cuba menyeleweng bekalan minyak masak bersubsidi.

Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sekitar jam 11 pagi hari ini mendapati syarikat yang beroperasi di Ipoh itu gagal menyelenggara buku stok minyak masak seperti diperuntukkan undang-undang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, V Ravichandran berkata, semakan ke atas rekod penjualan kemudiannya mendapati, syarikat itu menjual minyak masak kepada pembeli tidak berlesen dan tidak mempunyai kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.

“Syarikat ini mempunyai lesen borong barang kawalan minyak masak yang sah tetapi siasatan mendapati mereka gagal mengemaskini buku stok,” katanya kepada media hari ini.

Justeru katanya, sebanyak 4,864 kilogram minyak masak dianggarkan bernilai RM12,106 dan beberapa dokumen termasuk rekod pembelian dan penjualan disita untuk siasatan.

Menurutnya, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengaku sebagai pemilik premis turut diambil keterangan sebelum dibebaskan.

“Kegiatan syarikat itu berjaya dikesan hasil pemeriksaan dan pengauditan ke atas 22 syarikat pembungkusan minyak masak yang dijalankan di seluruh negeri,” katanya.

Ravichandran berkata, keseluruhan kuota subsidi minyak masak yang diperuntukkan kepada semua syarikat terbabit berjumlah 2,814 tan metrik sebulan.

“Bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 1,138 kes berkaitan penyelewengan barang kawalan minyak masak telah direkodkan membabitkan nilai rampasan lebih RM1.8 juta dan nilai kompaun RM156,540.

“KPDNHEP Perak bersedia mengambil tindakan lebih tegas supaya tiada ketirisan subsidi kerajaan berlaku dan memastikan bekalan semasa mencukupi,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

 

-SinarHarian