IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mencatat 1,035 kes dengan nilai rampasan RM3.24 juta sepanjang tahun 2018.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, dari segi nilai kompaun pula, sebanyak RM124,600 dikenakan atas pelbagai kesalahan dan melibatkan 68,044 pemeriksaan.

Beliau berkata, kes membabitkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu sebanyak 431 kes diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 sebanyak 380 kes.

“Pemeriksaan ini melibatkan kawasan di bandar dan luar bandar dengan keseluruhan pemeriksaan sebanyak 68,044 sepanjang tahun 2018.

“Pada tahun ini kita nak peringatkan kepada peniaga supaya patuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 Peringkat Negeri Perak di AEON Kinta City, di sini.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan skim kawalan harga barang tersebut, setakat ini terdapat satu kes diambil tindakan melibatkan peniaga di Kuala Kangsar tidak mempamerkan papan tanda merah jambu pada barangan kawalan yang ditetapkan.

Katanya, setakat dua hari pelaksanaannya, tiada sebarang aduan diterima daripada orang ramai dan pihak KPDNHEP mengalu-alukan sebarang aduan melalui lapan saluran yang disediakan.

Saifullizan berkata, sepanjang 10 hari pelaksanaan skim tersebut, seramai 183 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga ditempatkan di kawasan tertentu bagi memantau peniaga serta memastikan bekalan mencukupi – sinar harian